Mee Kicap Lagi

Hari ni lunch mee kicap lagi. Entrynya pernah saya share disini dahulu. Cuma kali ini untuk lunch di office saya dah prepare siap2 di rumah. Cuma time nak makan, saya reheat sahaja. Alhamdulillah, resepi ini tidak pernah mengecewakan. Sebungkus mee kuning boleh makan seramai 6 orang. Itu bagi kuantiti makan biasa. Jika ramai, boleh gandakan resepi mengikut keperluan dan bilangan tetamu atau isi rumah. Saya tulis sekali lagi resepinya disini..
Penyediaan mee kicap terbahagi kepada 4 ramuan utama. Memang nampak macam banyak tetapi penyediaannya tidak rumit dan hanya mengambil masa dalam 1 jam sahaja.. ramuannya terdiri daripada mee, kuah sup, kuah kicap dan sambal cili. Saya sertakan dibawah kaedah membuatnya.


Pertamanya sediakan bahan untuk mee:
1 bungkus mee kuning. Boleh aja jika nak gantikan mee kuning dengan mee wantan.. semuanya bergantung kepada selera masing-masing.
2 pokok sayur sawi / bak choy
1 peket fish cake
1 peket fishball


Caranya : Mee kuning dicelur dan diketepikan.  Sayur sawi/bakchoy juga dicelur, toskan dan ketepikan. Fish cake dan fish ball digoreng sebentar. Saya suka fishcake dan fishball digoreng sebab tidaklah terasa lembik. Angkat setelah masak dan biarkan sejuk. Setelah sejuk hiris fishcake  ikut ketebalan yang kita suka. Fishball pula saya tidak hiris sbb saya suka jika ia berada dalam bentuk asal.

Yang keduanya kita sediakan sup..
 Bahan Sup:
1.5 liter air
3 ulas bawang putih - diketuk (untuk masukkan dalam sup)
1 batang celery - dihiris
1 pokok daun sup - dipotong 4
1 inci halia - diketuk 
1 paket fucuk goreng (kat peket tulis steamboat fish bean curd)
segenggam ikan bilis
1/2 ketul kiub ayam
1/2 ketul kiub ikan bilis


Caranya : Basuh ikan bilis. Masukkan  dalam periuk. Tambah air dan biarkan mendidih. Yang ini untuk dijadikan stok ikan bilis. Biar mendidih lama sikit yer... Setelah itu tutup api  dan tapis. Ambil stok air ikan bilis tu dan masukkan kembali dalam periuk tadi. Masa ni boleh buka api dan masukkan bahan-bahan lain iaitu bawang putih yang diketuk, halia, celery dan daun sup. Biarkan sampai mendidih masukkan fucuk kemudian barulah masukkan kiub ayam dan kiub bilis. Kemudian rasa sikit kuah sup tu. Jika ada yang terkurang, adjustlah ikut kesesuaian. Perlu diingatkan, kuah sup tu janganlah terlalu masin sebab fishcake dan fishball sudah masin. Nanti takut bila makan terlebih masin pula.

Untuk yang ketiga, kita perlu sediakan kuah kicapnya. Ini penting sebab namanya pun dah mee kicapkan.. Jadi mestilah bintangnya perlu ada. Bahannya cukup mudah dan simple saja.. jom tengok.

Bahan Kicap:
4 sudu besar kicap manis - saya guna kicap Jalen warna merah sbb dia tulis kicap manis. Nak guna kipas udang pun boleh juga sbb dulu guna kipas udang. Since dah naik harga jadi skrg guna kicap Jalen sbb rasa kicap Jalen pun tak jauh beza sangat dengan Kipas Udang.
1 sdk kicap pekat
1/2 sdt minyak bijan - bergantung kepada kita. Jika suka bau minyak bijan yang kuat boleh tambah, jika tak suka kurangkan. Jika tak nak letak pun boleh..cuma kurang menyengat.. hehe.. mcm lebah pulak nak sengat2 ye.. 
10 ulas bawang putih - dicincang
minyak untuk menumis.

Cara penyediaan : Panaskan minyak. Masukkan bawang putih. Goreng hingga kekuningan. Setelah kekuningan, tutup api dan angkat. Tinggalkan bawang yang digoreng dalam kuali agak-agak 1 sudu teh. Ambil 1 sudu besar bawang goreng termasuk minyak yang diangkat tu dan masukkan dalam sup semasa bawang masih panas2. Masa ni sup kita akan jadi harum jer....  

Ok..sambung untuk masak kicap.. Dalam kuali yang tinggal 1 sudu teh  bawang putih tu, masukkan kicap manis dan kicap pekat. Biar mendidih, masukkan minyak bijan. Tutup api dan biar tepi sat.

Untuk bahan ke 4 iaitu sambal cili. Boleh juga jika kita nak hidangkan dengan sambal cili kicap.. iaitu dengan cara potong@blend cili padi @ blend dan masukkan kicap. Gaul sebati. Simple kan. Tapi saya suka buat sambal. Lebih pedas lebih menyengat. Penyediannya seperti di bawah..

Sambal Cili Padi: 
3 biji cili besar warna merah
20 biji cili padi jika boleh warna merah
1 ulas bawang putih
1 cm halia
sedikit 1/4 cawan air@ boleh juga guna sup yang kita dah sedia tadi. Jika guna sup lagi sedap.
sedikit minyak untuk menumis

Cara penyediaannya : Blend semua bahan sambal cili hingga halus. Panaskan kuali. Tumis bahan kisar dan masak hingga pecah minyak. Lepas pecah minyak angkat.

Cara menghidangkan mee kicap ni, mula-mula saya letakkan kuah kicap. Kemudian letakkan mee yang dicelur. Lepas tu susun fishball, fishcake, sayur, sambal cili dan bawang putih goreng bersekali dengan minyaknya.. Masukkan pula sup dalam mangkok lain. Masa nak makan tu gaul semuanya dan tambahkan sup. Untuk rasa pedas pula, jika yang suka pedas, boleh letak banyak sambal cili, jika tak tahan pedas, masukkan sikit saja. Adjust rasa tu ikut selera kita. 


Comments

Popular Posts